tragedi secawan teh

TANAH MERAH: Hanya kerana meninggikan suara selepas minuman dipesan lambat dihantar, seorang lelaki terpaksa menanggung derita apabila hampir 40 peratus badannya melecur teruk akibat disimbah air panas sedang menggelegak.

Insiden ngeri itu berlaku dalam sekelip mata ketika Sanusi Othman, 33, sedang duduk seorang diri di sebuah warung di Jalan Ismail Petra, dekat sini, sambil menunggu secawan teh dipesannya sebelum tiba-tiba disimbah segayung air panas.

Mangsa yang tergamam berikutan tindakan tidak disangka-sangka itu bagaimanapun bernasib baik kerana menyedari perbuatan tidak berperikemanusiaan peniaga terbabit dan sempat menepis air panas yang cuba disimbah ke mukanya dengan menggunakan tangan kiri.

Akibatnya, air panas terbabit tercurah di kiri badannya menyebabkan dia melecur teruk sehingga kulit tertanggal dan kemerahan seperti udang dipanggang.

Kesan melecur teruk itu menyebabkan mangsa terpaksa membogelkan diri dengan menanggalkan kain sarung serta baju dipakai sebelum dihantar pulang rakannya dengan sebuah kereta.

Menceritakan semula kejadian itu, Sanusi berkata, dia tidak menyangka akan disimbah air panas ketika minum di sebuah gerai pada 4 Januari lalu.

“Malam itu, saya keluar rumah seorang diri seperti biasa dengan menunggang motosikal untuk minum di sebuah gerai berhampiran rumah. Ketika itu, saya hanya memakai baju-T dan berkain pelekat.

“Sebaik tiba di gerai itu, saya terus duduk dan memesan secawan teh, namun pesanan itu lewat tiba walaupun memesan beberapa kali menyebabkan saya meninggikan suara,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pondok Lama di sini, semalam.

Sanusi yang mengambil upah menebar roti canai di sebuah restoran berkata, dia terkejut apabila pemilik gerai yang membawa segayung air panas masih menggelegak menerpa ke arahnya.

“Mulanya, memang saya tak perasan dia bawa air panas sehinggalah dia berdiri berhampiran dan menghalakan sesuatu ke arah muka menyebabkan saya panik.

“Saya cuba mengelak dengan menepis menggunakan tangan kiri sebelum bahagian kiri badan melecur akibat terkena air panas. Mujur saya mengelak kerana jika tidak sudah pasti muka saya melecur teruk,” katanya.
Sanusi terpaksa bergelut dengan pemilik kedai yang menyimbah air panas ke arahnya sambil disaksikan beberapa pelanggan lain.

“Tidak dapat saya gambarkan perasaan ketika itu apabila terpaksa berbogel dengan menanggalkan baju dan kain dipakai kerana terlalu sakit terkena air panas.

“Mujur kejadian itu disedari seorang rakan yang kebetulan berada di sebuah pusat snuker di kawasan berhampiran dan menghantar saya pulang ke rumah dengan keretanya,” katanya.

Sanusi mendapatkan rawatan tradisional pada malam kejadian sebelum menerima rawatan pesakit luar di Hospital Tanah Merah pada 16 Januari lalu dan membuat laporan polis pada hari sama.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Abdul Aziz Mahmud, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan seorang suspek ditahan untuk siasatan.

Katanya, kejadian dipercayai berlaku akibat perasaan tidak puas hati peniaga terbabit berikutan tindakan mangsa meninggikan suara apabila air teh yang dipesan lewat dihantar kepadanya.

“Difahamkan, ketika itu mangsa memesan meminum tapi tidak diendahkan peniaga terbabit. Keadaan itu menyebabkan pemilik kedai menyimbah air panas yang terkena sebahagian kiri badan mangsa,” katanya.

Menurutnya, suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • Twitter
  • RSS

0 Response to "tragedi secawan teh"

Post a Comment