Kekasih berhati iblis
KUALA LUMPUR: Hasrat seorang gadis yang juga pelajar sebuah kolej swasta berusia 19 tahun untuk bertemu bakal mentuanya berkubur apabila dia menjadi mangsa pemuas nafsu sekumpulan empat lelaki diketuai teman lelakinya sendiri ketika berkunjung ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Petaling di sini, Selasa lalu.
Lebih menyedihkan, mangsa diperlakukan seperti hamba seks dan diperkosa bergilir-gilir hampir 10 kali dalam tempoh lima jam.
Semuanya bermula kira-kira jam 11 malam apabila mangsa yang berada di rumahnya di sebuah pangsapuri di Jalan Jejaka, Cheras di sini, dihubungi teman lelakinya berusia awal 20-an menjemputnya keluar bersiar-siar.
Menurut sumber, mangsa dan teman lelakinya kemudian singgah makan di Tasik Permaisuri, Cheras.
“Di gerai itu ada tiga lagi lelaki berusia lingkungan 20-an dipercayai kenalan teman lelaki mangsa.
“Teman lelaki mangsa turut memperkenalkan ketiga-tiga kenalannya sebelum mereka menjamu selera bersama,” katanya.
Menurutnya, selesai makan, mangsa dipelawa ke rumah teman lelakinya untuk bertemu bakal ibu dan bapa mentuanya selain menolong mereka memindahkan barang ke rumah baru.
Sumber berkata, sebaik tiba di rumah berkenaan, mangsa terkejut apabila mendapati rumah terbabit kosong.
“Mangsa bertanya kepada teman lelakinya ke mana ibu bapanya pergi, tetapi lelaki terbabit mendakwa orang tuanya mungkin sudah ke rumah baru mereka.
“Bagi meyakinkan mangsa, teman lelakinya itu mendakwa akan membawanya ke rumah baru mereka, namun dia perlu memeriksa barangan dalam rumah terlebih dulu,” katanya.
Sumber itu berkata, ketika lelaki terbabit berpura-pura memeriksa barangan dalam rumah berkenaan, tiga rakan yang ditemui di restoran tiba di rumah berkenaan.
Menurut sumber itu, sebaik tiga rakan terbabit memasuki rumah berkenaan, teman lelaki mangsa mula menunjukkan taring apabila cuba menodai mangsa di hadapan rakannya.
Tersentak dengan perbuatan itu, mangsa segera menampar teman lelakinya itu, namun tindakan berkenaan mengundang padah apabila dia diugut selain dipukul.
Malah, mangsa juga dirogol teman lelakinya biarpun merayu dikasihani manakala tiga rakannya pula bersubahat dengan membantu memegang tangan dan kaki gadis berkenaan.
Sumber berkata, kumpulan terbabit kemudian merogol mangsa secara bergilir-gilir hampir 10 kali.
Mereka kemudian menghantar mangsa ke rumahnya kira-kira jam 7 pagi selepas teman lelakinya mengugut akan mencederakannya jika mendedahkan perkara itu kepada ahli keluarganya atau pihak berkuasa.
Bagaimanapun, mangsa tidak mengendahkan ugutan itu apabila membuat laporan di Balai Polis Salak Selatan di sini.
0 Response to "Kekasih berhati iblis"
Post a Comment