Ustaz Belasah Murid


KUALA LUMPUR: “Hang (kamu) jangan bagi aku jadi gila...” tengking seorang ustaz sebelum menjadikan seorang remaja sebagai mangsa amukannya dalam kejadian di sebuah rumah yang dijadikan pusat tahfiz di Taman Melawati, dekat sini, Selasa lalu.

Akibatnya, remaja berkenaan, Nazmil Hazwan Zaini, 14, cedera di kepala, kaki dan tangan kerana mendakwa ustaz terbabit memukul kepalanya dengan rotan selain memijak kepala.

Menceritakan kejadian itu, Nazmil Hazwan berkata, dia pada mulanya terbangun dari tidur jam 3 pagi kerana sakit perut.

“Sejurus terjaga, saya bergegas ke tandas dan selepas itu kembali ke bilik, namun ketika itu ada seorang rakan belum tidur dan saya bertanyakan kepadanya kenapa masih berjaga.

“Rakan memberitahu dia tidak dapat tidur lalu kami berbual sekejap kerana saya juga sukar melelapkan mata selepas sakit perut,” katanya.

Bagaimanapun, tiba-tiba dia terdengar pintu bilik ditendang sebelum terlihat kelibat seseorang membawa lampu suluh menghampirinya.

“Sebaik menghampiri, saya baru perasan orang itu ustaz dan dengan lantang dia mengatakan jangan buat dia gila sebelum secara tiba-tiba menghayunkan rotan beberapa kali yang tepat mengenai tengah kepala saya.

“Ketika itu, saya hanya mampu merayu dia menghentikan perbuatan itu, namun dia makin menggila apabila terus memijak kepala saya sambil memaki-hamun dan mengeluarkan kata-kata kesat,” katanya.

Menurut Nazmil, selain dia, dua lagi rakannya turut mengalami nasib sama apabila mereka menjadi mangsa belasahan ustaz terbabit, namun kecederaan dialami tidak seteruk dirinya.

Menurutnya, selepas puas membelasah dan melepaskan geram, ustaz terbabit dengan nada marah meminta dia memanggil bapanya datang menjemputnya keesokan harinya.

“Saya menghubungi ibu, namun panggilan tidak dijawab sebelum nekad pulang ke rumah di Jalan Genting Klang menaiki bas.

“Ibu hairan melihat saya pulang dengan lemah dan saya menceritakan kejadian itu kepadanya sebelum dibawa menjalani rawatan di hospital,” katanya.

Menurutnya, kecederaan itu membuatkan dia tidak mampu membuka mulut dan hilang selera makan seharian berikutan keadaan kepalanya yang bengkak.

“Bagaimanapun, kesan itu beransur pulih, namun masih terasa sakit,” katanya.

Sementara itu, bapa mangsa, Zaini Ariffin, 47, kesal dengan tindakan ustaz terbabit kerana niatnya menghantar anak ke pusat itu untuk menjadi seorang hafiz.

“Saya tak kisah jika anak dipukul kerana tak tahu membaca atau enggan mendengar nasihat, namun kesal kerana dia yang belum tidur selepas sakit perut diperlakukan dengan kejam.

“Berikutan kejadian ini, saya serik dan tawar hati menghantar anak ke pusat itu dan terpaksa membuat laporan polis kerana tindakan ini boleh dianggap terlalu melampau,” katanya.

Menurutnya, dia mengenali ustaz terbabit ketika terserempak di sebuah masjid selepas menunaikan solat dan dengan perwatakan yang baik, hatinya mula tertarik selepas diberitahu lelaki itu dia membuka kelas tahfiz secara percuma.

Difahamkan, ustaz berkenaan dari utara Semenanjung menjadikan rumah dua tingkat di situ asrama dan tempat pelajar mendalami ilmu agama dan menghafal al-Quran.

Difahamkan, kejadian memukul bukan kali pertama kerana sebelum ini ada pelajar pernah melakukan kesalahan kecil dipijak dada selain turut didenda melakukan ketuk ketampi hingga membuatkan ada seorang melarikan diri.

Pusat tahfiz itu menempatkan hampir 20 pelajar dan ada antara mereka datang dari negara jiran untuk mempelajari ilmu agama.

Sementara itu, Timbalan Ketua Daerah Polis Ampang Jaya, Superintendan Amiruddin Jamaluddin, mengesahkan menerima laporan, namun enggan mengulas kerana masih dalam siasatan.

Difahamkan, polis sudah memeriksa rumah teres dua tingkat yang dijadikan pusat tahfiz itu dan cuba menemui ustaz terbabit, namun dia menghilangkan diri sebaik melihat kelibat polis.

Usaha Harian Metro berjumpa dan menemu bual guru agama itu juga gagal.


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • Twitter
  • RSS

0 Response to "Ustaz Belasah Murid"

Post a Comment