kembali selepas 30 tahun
KENYATAAN Kementerian Pengajian Tinggi mahu membawa semula sudut pidato atau ‘speaker’s corner’ di institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan menerima reaksi positif pelbagai pihak terutama pelajar universiti.
Kementerian Pengajian Tinggi membuat cadangan itu selepas pindaan semula AUKU pada Februari tahun lalu.
Sudut pidato yang diperap kira-kira 30 tahun dijelma semula berikutan desakan dan kehendak mahasiswa yang berasakan ia perlu bagi membangkitkan semula semangat mahasiswa yang kini kian lesu.
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata daripada lapan teras kokurikulum yang diperkenalkan di IPT, pengucapan awam berada di kedudukan terbawah.
Justeru, dengan pelaksanaan sudut pidato, beliau yakin pengucapan awam tidak lagi di kedudukan tercorot.
“Sudut pidato ini nanti mampu menjadi tempat pelajar menyuarakan pendapat atau perkara yang dirasakan perlu diketengahkan.
“Walaupun IPT ada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), ada segelintir pelajar tidak suka menyuarakan pendapat menggunakan saluran itu.
“Jadi, melalui sudut pidato ini, mereka bebas menyuarakan pendapat di depan pelajar lain, bukannya bercakap di belakang,” katanya.
Menurutnya, sudut pidato ini akan menjadi medan pelajar mengetengahkan bakat berpidato kerana bukan semua berpeluang menjadi pembahas atau mewakili universiti di manamana pertandingan.
Usaha mengembalikan sudut pidato di IPT memang baik kerana memberi manfaat kepada pelajar dan meningkatkan keupayaan bercakap secara spontan di hadapan khalayak.
Namun, dengan senario politik di Malaysia ini, apakah kemungkinan sudut pidato ini disalahgunakan dan menjadi medan perbahasan untuk kepentingan sendiri? Biarpun ada pemantauan pihak universiti, sejauh mana boleh dipastikan ia dapat dikawal sepenuhnya? Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Mohamad Abd Razak, berkata pelajar universiti kian matang dan dapat membezakan buruk dan baik untuk membahaskan sesuatu isu.
Beliau berkata, dengan pemantauan universiti, sukar bagi pelajar menyalahgunakan sudut pidato untuk kepentingan diri sendiri.
“Sudah 30 tahun sudut pidato ini tidak dilaksanakan di IPT dan saya percaya pelajar generasi sekarang bukan seperti penuntut era 1960- an dan 1970 yang terlalu ekstrem.
“Dengan kematangan dan ilmu, pelajar generasi baru mampu melontar idea dan pandangan secara intelektual,” katanya.
Namun, beliau mengakui kadangkala apabila pengucapan itu menjadi emosi, seseorang itu sukar untuk mengawal kata-kata.
Justeru, katanya pihak universiti perlu peka terhadap sebarang kemungkinan termasuk meminta memberhentikan majlis itu jika sudah keterlaluan.
“Di UKM, kita menyediakan tempat khas untuk sudut pidato, tetapi pelajar perlu mematuhi garis panduan ditetapkan.
“Antaranya, pelajar tidak boleh membahaskan perkara sensitif atau memaki hamun peribadi orang lain,” katanya.
Pada era 1960-an dan 70-an, sudut pidato melatih pemimpin pelajar petah berpidato dan mempunyai idea bernas untuk dikongsi bersama.
Beliau berkata, pemimpin kampus juga mempunyai pengikutnya yang berpengaruh dalam memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat, hasilnya negara mempunyai pemimpin yang berani dengan semangat juang tinggi.
“Ramai pemimpin negara hari ini lahir dalam kalangan pemidato yang bernas mindanya ketika di kampus dan kini menjadi tokoh disegani,” katanya
Sementara itu, Hakim Kelas Tertinggi, Majlis Debat Universiti-Universiti Malaysia (Makum), Mohd Zali Ridzal Zakaria berkata usaha memperkenalkan sudut pidato itu mampu mengembalikan semula era kegemilangan pelajar IPT.
“Memang diakui pembabitan pelajar dalam pidato atau debat membantu mereka meningkatkan keyakinan diri dan berani berucap di khalayak ramai.
“Apabila keluar, mereka lebih yakin dan tidak gentar berucap di hadapan khalayak,” katanya.
Cuma beliau berharap pihak universiti tidak meletakkan garis panduan terlalu ketat untuk merealisasikan sudut pidato itu.
“Saya percaya pelajar mampu mengawal perasaan masing-masing kerana mereka harus menerima risiko sudut pidato ditarik balik jika disalah gunakan.
0 Response to "kembali selepas 30 tahun"
Post a Comment