pelajar genius kimia
“SEJAK kelahirannya dia merupakan bayi yang luar biasa. Apabila saya bercakap, dia memalingkan kepalanya kepada saya dan terus berhenti menangis,” luah Valentine Cawley, 41, mengenai anak sulungnya, Ainan Celeste Cawley, 10.
Petanda lain mengenai kelahiran anak sulung Valentine turut dirasai oleh isterinya, Syahidah Osman Cawley, 30, seorang pelukis potret dan penulis.
“Ketika saya mengandungkan Ainan, berlaku gerhana matahari penuh. Saya dan suami dapat menyaksikan gerhana matahari tersebut bersama-sama,” katanya.
Bagi mereka, semua itu merupakan antara petanda baik bahawa anak sulung mereka mempunyai keistimewaan.
Tekaan mereka ternyata benar apabila Ainan menunjukkan perkembangan yang luar biasa selepas kelahirannya.
Ainan mula merangkak pada usia empat bulan, berjalan ketika enam bulan dan berlari ketika lapan bulan. Malah, pada usia Ainan mencecah enam tahun, dia mula menunjukkan minat membaca buku kimia
Kelibat Ainan membaca buku kimia disedari ibu saudaranya. Lalu ibu saudaranya bertanya kepada Ainan sama ada dia faham isi kandungan buku tersebut.
“Ya, saya faham apa yang dibaca,” jawab Ainan ringkas.
Sejak itu, buku kimia menjadi santapan mindanya. Ketika kanak-kanak seusianya baru menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira, Ainan pula sudah mendalami subjek kimia.
“Setiap hari Ainan akan menunjukkan kertas kerja kimianya kepada saya termasuk idea-idea kimia yang direka sendiri olehnya. Hasil yang ditunjukkan kebanyakannya menghurai mengenai simbol kimia yang begitu kompleks.
“Otaknya begitu pantas memberi tindak balas kepada subjek kimia,” kata Valentine.
Setahun selepas mempelajari subjek kimia, Ainan menduduki ujian kimia peringkat O-Level ketika usianya tujuh tahun. Kanak-kanak berdarah Ireland di sebelah bapa dan Melayu Singapura di sebelah ibunya itu lulus ujian tersebut menjadikan dia manusia termuda mencapai rekod itu.
Kejayaan Ainan dicatatkan dalam Singapore Book of Records.
Sejak tahun 2007, nama genius muda itu sememangnya menjadi sebutan seluruh dunia. Beberapa rekod lain dicipta Ainan selepas itu seperti pelajar politeknik termuda di dunia.
Terbaru dia mencipta satu rekod lagi baru apabila menjadi kanak-kanak pintar kimia pertama di dunia yang mendaftar masuk ke sebuah universiti. Sejak awal tahun ini Valentine dan Syahidah memilih universiti di Malaysia, Kolej Universiti HELP di Pusat Bandar Damansara untuk menyambung pengajian Ainan.
Ini bermakna pada usia 10 tahun, Ainan sudah bergelar seorang mahasiswa. Kanak-kanak itu meneruskan pengajian dalam Ijazah Program Amerika.
0 Response to "pelajar genius kimia"
Post a Comment